
Ziarah Haul Sheikh Mutawalli Sha’rawi (1911-1998)
Alhamdulillah, sewaktu di Mesir, saya dan rakan-rakan berkesempatan untuk pergi ke majlis memperingati kelahiran Sheikh Mutawalli Sha’rawi, di kampung kelahiran beliau, di Daqodus, Mesir. Sejak pemergian beliau, ke rahmatuLlah, pada tahun 1998, umat Islam terasa suatu kehilangan yang amat besar. Jasa beliau sememangnya tidak ternilai harganya.
Kami bertolak pada waktu tengahari, daripada Zaqziq, menuju ke sana, dengan menaiki kenderaan awam. Perjalanan itu cukup membawa seribu satu makna, kerana kami antara yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menziarahi para solihin, termasuklah sanak-saudara Sheikh Mutawalli sendiri, di hari yang tersebut.
Ini kerana, banyak juga perkara-perkara yang tidak pernah ditemui di Malaysia, dapat ditemui di sini, khususnya suasana masyarakat dan budaya mereka. Ada yang agak keterlaluan, kerana kejahilan mereka, namun mereka adalah awam, dan yang paling penting adalah, untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka, agar tidak keterlaluan dalam sesuatu urusan, bukan memarahi mereka dan menghukum mereka.
Rombongan kami dipimpin oleh Al-Akh Ust Husni Ginting Al-Langkati. Setibanya di perkarangan dewan, kami dipanggil khusus oleh seorang sheikh, yang merupakan guru dan kenalan kepada Ust Husni Ginting, untuk menikmati hidangan makan malam di bilik khusus. Mereka terlalu memuliakan para penuntut ilmu agama, khususnya yang datang dari luar negara, yang sudi belajar ilmu agama di negara mereka.
Tidak terasa asing dengan layanan mereka, sehingga terasa dimanjakan oleh masyarakat yang cintakan ilmu dan ulama ini. Kami penuntut ilmu, turut dicintai dengan kecintaan mereka kepada ilmu dan ulama’ tersebut. Rasa sungguh bertuah, dapat belajar di Mesir, bumi yang penuh dengan keberkatan dan mahabbah.
Setelah itu, dalam perjalanan pulang, kami dihantar oleh Sheikh Abu Abdul Wahab, salah seorang yang membawa tarikat Al-Husofiyah di Mesir. Beliau cukup rapat dan erat dengan kami. Beliau terlalu memuliakan kami. Beliau berketurunan Saidina Al-Hasan r.a.. Beliau terlalu memuliakan penuntut-penuntut ilmu agama.
Kami pulang pada lewat malam, dan sampai hampir Subuh di Zaqziq. Sesungguhnya, keletihan seakan tidak terasa, dek pengalaman yang dibawa pulang bersama, terlalu berharga. Semoga Allah s.w.t. merahmati ziarah kami. Amin…




