Monday, November 5, 2007

Ziarah Haul Sheikh Mutawalli Sha’rawi (1911-1998)





Ziarah Haul Sheikh Mutawalli Sha’rawi (1911-1998)

Alhamdulillah, sewaktu di Mesir, saya dan rakan-rakan berkesempatan untuk pergi ke majlis memperingati kelahiran Sheikh Mutawalli Sha’rawi, di kampung kelahiran beliau, di Daqodus, Mesir. Sejak pemergian beliau, ke rahmatuLlah, pada tahun 1998, umat Islam terasa suatu kehilangan yang amat besar. Jasa beliau sememangnya tidak ternilai harganya.


Kami bertolak pada waktu tengahari, daripada Zaqziq, menuju ke sana, dengan menaiki kenderaan awam. Perjalanan itu cukup membawa seribu satu makna, kerana kami antara yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menziarahi para solihin, termasuklah sanak-saudara Sheikh Mutawalli sendiri, di hari yang tersebut.




Setibanya kami di sana, di waktu malam yang hening, kami pergi ke suatu kawasan yang mana, di sana, terhimpun ribuan manusia, yang membanjiri majlis memperingati Sheikh Mutawalli As-Sha’rawi. Ia bagaikan suatu pengalaman yang baru buat kami, yang baru sahaja belajar di Mesir.





Ini kerana, banyak juga perkara-perkara yang tidak pernah ditemui di Malaysia, dapat ditemui di sini, khususnya suasana masyarakat dan budaya mereka. Ada yang agak keterlaluan, kerana kejahilan mereka, namun mereka adalah awam, dan yang paling penting adalah, untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka, agar tidak keterlaluan dalam sesuatu urusan, bukan memarahi mereka dan menghukum mereka.




Rombongan kami dipimpin oleh Al-Akh Ust Husni Ginting Al-Langkati. Setibanya di perkarangan dewan, kami dipanggil khusus oleh seorang sheikh, yang merupakan guru dan kenalan kepada Ust Husni Ginting, untuk menikmati hidangan makan malam di bilik khusus. Mereka terlalu memuliakan para penuntut ilmu agama, khususnya yang datang dari luar negara, yang sudi belajar ilmu agama di negara mereka.

Tidak terasa asing dengan layanan mereka, sehingga terasa dimanjakan oleh masyarakat yang cintakan ilmu dan ulama ini. Kami penuntut ilmu, turut dicintai dengan kecintaan mereka kepada ilmu dan ulama’ tersebut. Rasa sungguh bertuah, dapat belajar di Mesir, bumi yang penuh dengan keberkatan dan mahabbah.



Setelah selesai makan, kami menghadiri majlis muhadarah dan ceramah ilmu, oleh para ulama yang terkenal. Antara yang kami sempat dengar ucapan mereka adalah, Sheikh Abddullah As-Sobban, seorang ulama hadis di Al-Azhar. Untaian mutiara bagaikan berguguran daripada mulut beliau, mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepada kami, dengan penuh kupasan yang mendalam. Begitu juga dengan para ulama’ yang lainnya. Rasanya, bagaikan penawar hati, mendengar nasihat mereka, khususnya apabila mendengar riwayat hidup Sheikh Mutawalli, dengan ketekunannya dalam ketaatan kepada Allah s.w.t.. Hidupnya semuanya kerana Allah s.w.t. dan untuk umat Islam. Insya Allah, segala yang didengari, akan cuba diamalkan, dengan bantuanNya, amin.

Setelah itu, dalam perjalanan pulang, kami dihantar oleh Sheikh Abu Abdul Wahab, salah seorang yang membawa tarikat Al-Husofiyah di Mesir. Beliau cukup rapat dan erat dengan kami. Beliau terlalu memuliakan kami. Beliau berketurunan Saidina Al-Hasan r.a.. Beliau terlalu memuliakan penuntut-penuntut ilmu agama.





Kami pulang pada lewat malam, dan sampai hampir Subuh di Zaqziq. Sesungguhnya, keletihan seakan tidak terasa, dek pengalaman yang dibawa pulang bersama, terlalu berharga. Semoga Allah s.w.t. merahmati ziarah kami. Amin…

Friday, November 2, 2007

Ziarah Maqam Sheikh Abdul Halim Mahmud (bekas Sheikhul Azhar)



Sewaktu di Mesir, alhamdulillah, kami berpeluang menziarahi maqam Sheikh Al-Imam Dr. Abdul Halim Mahmud, seorang bekas Sheikhul Azhar yang ternama suatu ketika dahulu. Beliau yang juga merupakan antara guru-guru kepada Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, amat terkenal dalam bidang keilmuan Islam.

Beliau dilahirkan di perkampungan Abu Hammad, Syarqiyah, Mesir, pada tahun 1910, dan membesar dalam kaluarga yang amat sederhana namun berlatarbelakangkan pendidikan agama yang kukuh. Nasab keturunan beliau juga bersambung kepada Saidina Husein r.a., cucunda kepada Rasulullah s.a.w.. Beliau meninggal pada tahun 1978, ketika menjawat jawatan Sheikhul Azhar-semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau-.

Antara guru-guru beliau adalah, Sheikh Mahmud Syaltut (Sheikhul Azhar sebelum beliau), Sheikh Mustafa Al-Maghari dan sebagainya.

Alhamdulillah, kami diberi peluang oleh Allah s.w.t., untuk menziarahi kampun beliau di Abu Hammad, tempat di mana jasad mulia beliau disemadikan. Kami yang dipimpin oleh Al-Akhl Al-Fadhil Sheikh Husni Ginting Al-Langkati, pergi bermusafir merentas jarak dan sempadan daerah, daripada Zaqziq menuju ke Abu Hammad.

Kami menaiki sebuah trak kecil, yang merupakan antara pengangkutan awam yang utama di sana, yang menghubungkan antara satu daerah ke suatu daerah yang lain.

Setibanya di sana, setelah berpenat lelah dalam trak kecil tersebut, akhirnya kami tiba di perkarangan Masjid Abdul Halim Mahmud, masjid di mana maqam Sheikh Abdul Halim Mahmud ditempatkan.

Kami berasa cukup terharu, apabila melihat kawasan kampong yang begitu sederhana sekali, namun mampu melahirkan seorang ulama’ yang terulung di zaman beliau. Persekitarannya yang nyaman, dan kawasannya yang sunyi, menggambarkan ketenangan pendududk kampung tempatan. Masjid tersebut bersebelahan dengan tali air yang mengairi kawasan sawah padi dan gandum.

Kami menunaikan solat sunat tahhiyatul masjid di dalam sejurus setelah memasuki masjid tersebut. Setelah itu, kami singgah menziarahi maqam perkebumian Sheikh Abdul Halim Mahmud di sebelah masjid tersebut, untuk tujuan berziarah dan memberi salam serta mendoakan beliau, tanda penghormatan.

Tenang terasa, seolah-olah sedang berhadapan dengan beliau yang masih lagi sedang tersenyum, menyambut kunjungan kami. Benarlah kata pujangga, cinta dan kasih itu menjangkau sempadan tempat dan masa. Kami yang tidak pernah bertemu beliau sewaktu hidupnya, namun masih terasa kehilangan dengan pemergiannya, kerana perasaan kami, hanyalah suatu bahagian kecil daripada perasaan kaum muslimin seluruhnya, yang merasai kehilangan beliau, setelah beliau meninggalkan kami dengan segunung jasa dan bakti, untuk terus dihargai.


Jasa beliau khususnya dalam bidang tarbiah dan pendidikan, dalam memajukan sektor pendidikan di Al-Azhar, menjadi antara jasa terbesar beliau untuk umat Islam, dan semoga Allah s.w.t. membalas jasa baik beliau. Kami, anak-anak didikan Al-Azhar khususnya, bagaikan sedang menziarahi nenda kami sendiri, dek kerana ikatan kekeluargaan dalam keluarga besar Al-Azhar itu sendiri, menjangkau faktor warna kulit dan bangsa.

Setelah itu, kami dijemput oleh ahli waris Sheikh Abdul Halim Mahmud untuk berkunjung di rumah mereka, bagi merai kami yang menziarahi datuk mereka yang mulia. Kami terasa, seolah-olah menjadi tetamu kehormat bagi Sheikh Abdul Halim Mahmud sendiri, dek kerana layanan yang terlalu istimewa yang diberikan kepada kami, oleh kerabat dan ahli waris Sheikh Abdul Halim Mahmud tersebut (semoga Allah s.w.t. membalasi jasa mereka, amin).

Benarlah kata ahli bijaksana, dengan menziarahi orang-orang soleh, akan merasai kemanisan dan kelazatan iman dan keberkatan. Ziarah tersebut membawa banyak erti dan pengajaran kepada hidup saya khususnya.

Semoga Allah s.w.t. merahmati ziarah kami dan menerimanya sebagai ibadah umum dan taqarrub kami kepadaNya yang menganjurkan ziarah sesame muslimin, amin.

Dunya Fana


MyCartopia.com Click here to get one